Wednesday, January 03, 2007

Catatan 10 Zulhijjah Nan Lalu...

Alhamdulillah... tahun ni dapat gak aku balik menyambut Aidil Adha bersama keluarga nan tercinta di Kuantan. Tahun lepas aku raya sesowang di Miri hu hu hu hu... seperti biasa tahun ni, famili aku bersembahyang raya di masjid berhampiran sebelum makan ketupat dan rendang. Sebelum tu sempat gak bergambar sesikit wat kenangan. Pukul 10 pagi kami bertolak ke kampung nenek di Pekan dengan menaiki dua buah kereta. Ayah tak mengikut. Dia dan adik bongsu lelakiku, Iddin tinggal di rumah. Iddin nak beraya ke rumah kawan. Ayah pulak... hem... entahlah? Agaknya hendak berehat sahaja kot? Aku tidak memandu ke kampung. Sebaliknya adik perempuanku yang memandu. Aku dan mak duduk bersandar di kerusi belakang sesambil membaca akhbar Kosmo dan Metro. Perjalanan ke kampung nampak tenang. Kereta tidak banyak sepanjang jalan Kuantan-Pekan. Sebahagian jalan sedang dibesarkan untuk dijadikan jalan 4 lorong. Melewati kampung-kampung tradisi di sepanjang jalan, kulihat suasana tampak meriah. Di hadapan rumah bersusun kereta anak rantau yang pulang bercuti mengambil kesempatan cuti ekstra 2 hari. Di beberapa kawasan, ibadah korban giat di jalankan. Melewati kediaman Dato' Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, kelihatan banyak sekali kenderaan, trak polis dan askar serta kenderaan dari stesen tv swasta. Kata mak, Dato' Seri Najib buat korban bersama dengan Digi. Orang ramai di halaman Seri Kenangan, kediaman Dato' Seri Najib di pinggir Sungai Pahang. Kata mak lagi kami dengan keluarga Tun Razak ada hubungan keluarga tapi dah jauh... aku siap buat lawak kata mesti dah sedara bau bau taik kerbau wakakakak melewati Sungai Pahang yang mengalir lesu, aku teringat kenangan silam. Masa arwah Tokki masih ada tatkala aku masih bersekolah, aku sering balik ke kampung samada bersendirian atau bersama adikku menaiki bas Bee Huat ke Pekan. Setiap kali melewati jambatan yang merentasi Sungai Pahang yang lebar ini, aku mesti akan memerhatikan sungai ini. Tak tahu kenapa? Agaknya ada nostalgia kot? Kataku memumantiskan diri sendiri. Bandar Di Raja Pekan yang sememangnya slow and steady nampak pesat membangun. Ada hospital baru dan masjid baru yang sedang dibina. Setengah jam kemudian kami tiba di rumah nenek. Cuaca mendung namun tidaklah hujan. Malah semenjak aku balik, tidak ada lagi hujan lebat yang membasahi bumi. Cuaca memang baik. Kalau hujan pun hanyalah renyai-renyai yang berlalu ditiup angin. Kulihat Ayah Chik asyik membakar sampah di belakang rumah. Hari raya pun bakar sampah jugak ke? Turun dari kereta, aku terus naik ke dalam rumah. Nenek sudah menunggu. Tangan nenek kusalam dan kucium. Makcikku dan adik sepupuku yang masih kecil juga sudah sedia menunggu. Setelah bertanya khabar dan berbual mesra, kami terus dihidangkan dengan juadah hari raya. Ada ketupat, rendang dan sambal kelapa... dan juga nasi dagang. Alhamdulillah dapat juga aku merasa nasi dagang. The rest of the day flows by... nenek kata tiada orang berkorban di sekitar kampung kami. Di kampung sebelah ramailah. Kampung nenek sudah sepi... banyak rumah yang kosong tidak berpenghuni, samada sudah berpindah ke tempat lain atau berpindah ke perumahan abadi di darat. Yang tua-tua pun sudah uzur dan menanti masa berpindah ke darat, kata nenek membuat lawak seram. Cuma kalau hari raya, ada anak cucu yang balik semula ke rumah pusaka untuk bercuti beberapa hari sebelum kembali semula ke tempat kerja memasing. Nampaknya kampung nenek makin sunyi. Nenek pun banyak menghabiskan masa bersama anak cucu di Kuantan. Apatah lagi nenek perlu ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatannya setiap minggu. Sesekali aje nenek pulang semula ke rumah pusaka peninggalan arwah tokki ini untuk mengemas. Rumah pusaka ni pun sudah tua... banyak dinding dan lantai yang mereput dimamah usia. Hemm... sampai bilalah agaknya rumah ini mampu bertahan? Aku harap sehingga selamanya... disinilah aku dilahirkan... di rumah pusaka ini. Itulah sebabnya aku mahu lihat ia teguh berdiri sehingga akhir hayatku... emmmm back to the story, ramai juga saudara mara yang datang menjenguk. Tak diam nenekku melayan tetamu yang hadir. Bukan orang lain pun, semuanya saudara mara juga. Ayak Chik dan Ayah Teh menebang sepohon kelapa bantut dan mengambil umbutnya untuk dibuat sayur. Tengahari itu kami makan nasi dengan sayur umbut masak lemak, ikan goreng, ikan masin, ulaman dan sambal belacan. Sedapnya makan nasi dengan lauk pauk kampung sambil menikmati angin laut yang bertiup lembut. Kami berangkat pulang ke Kuantan pada petang itu juga. Nenek, Ayah Chik dan Ayah Teh tinggal untuk bermalam di kampung... aku tak tahu bila pula giliranku untuk bermalam di kampung...

No comments: