Friday, October 20, 2006

Kisah nenek tua yang memilukan

Sambil menunggu waktu berbuka puasa, yang mana hari ni aku berbuka puasa dengan bubur pulut hitam dan sebotol jus oren di pejabat, aku menonton rancangan Tijarah Ramadan yang ditayangkan di TV1 bermula jam 6.00 petang. Aku menonton rancangan ini sekali sekala sahaja kalau aku terbukak TV1. Dan nyata aku merasa sayu apabila mendapati rancangan hari ini memaparkan kisah seorang nenek tua yang meniti hari hari terakhir kehidupannya berseorangan.

Aku terus menumpukan perhatian aku ke kaca tv. Wajah nenek Esah mengingatkan aku akan nenekku di kampung. Cara berpakaian saling tak sumpah... malah rasanya saiz mereka pun hampir sama. Tinggal berseorangan di sebuah rumah usang yang sudah buruk untuk menghabiskan sisa-sisa kehidupan tanpa keluarga. Aku cukup pilu dan sebak melihat betapa sukarnya nenek Esah meneruskan kehidupan. Mengutip sayur sayuran kampung di tepi sungai, memancing ikan, mengemas rumah dan laman, memasak di dapur yang uzur, lantai yang berlubang dan reput dan tidur di dalam kegelapan malam kerana tidak mempunyai bekalan elektrik. Terasa perit tekak melihat nenek Esah makan nasi tanpa lauk... hilang selera aku seketika dan aku tak malu mengakui yang air mata aku bergenang kerana aku sungguh simpati dengan nasib nenek tua ini. Sebagai lelaki yang seharusnya mempunyai air mata yang mahal, aku akui yang aku tidak segan mengeluarkan air mata untuk menangis kerana bersimpati dengan golongan warga emas yang serba malang dan daif di dalam meniti hari hari terakhir di penghujung usia. Bagiku mereka ini sepatutnya diberi bantuan untuk meneruskan kehidupan dengan selesa; bukannya dibiarkan terkontang-kanting tanpa pembelaan. Dahulu aku sering menangis simpati sewaktu Edisi Siasat menjelajah seluruh pelusuk tanahair menghebahkan cerita mengenai nasib malang warga emas senasib dengan nenek Esah ini. Dan sedikit derma kuhulur melalui sms untuk setidaknya membantu nenek tua ini. Tatkala aku menaip entry ini, mataku masih bergenang dengan air mata sayu... melihat wajahnya yang redup itu cukup buatkan hatiku terusik... semoga ketibaan Syawal beberapa hari lagi ni, nenek Esah akan sekurang-kurangnya dapat menyambut Hari Raya dengan sedikit kegembiraan. Doaku untuk kebahagiaan nenek tua ini... salam dari cucu yang jauh dan nenek tidak mungkin akan kenal...

1 comment:

Anonymous said...

pahala balasannya yg memberikan sedekah..Aminnn